|
RUKUN USRAH
1. Taaruf
Taaruf bermaksud berkenalan secara mendalam hingga menimbulkan kasih sayang
dengan tujuan al-hubbufillah. Firman Allah: Maksudnya: Sesungguhnya
orang-orang mukmin itu bersaudara ....." Dan Sabda Rasulullah s.a.w.,
maksudnya: Orang yang beriman dengan orang yang beriman yang lain laksana
satu binaan, saling kuat menguat antara satu dengan yang lain. Sabda
Rasulullah s.a.w., maksudnya: Kami mengasihi saudara kerana dia adalah
saudara pada jalan Allah.
Di samping itu sikap mahabbah
mesti di buktikan dalam amalan dan penghayatan bukan sekadar teori semata-mata.
At-Taaruf ialah kenal mengenal dari bab mufa'alah (daripada dua belah
pihak) salbi dan i-jabi (memberi dan menerima)--kenal yang benar-benar,
tahu selok-belok tentang saudara kita, supaya kita membuat dan bertindak untuk
mengarah sesuatu yang sesuai dengannya.
2. Tafahum
Tafahum maksudnya bersefahaman. At-tafahum daripada bab mufa'alah juga,
bertujuan supaya usrah membuahkan suatu sikap, satu tindakan daripada sama-sama
faham, sama-sama beramal iaitu sama-sama menjalankan perintah Allah, tunduk
kepada kebenaran, muhasabah diri, muhasabah sama-sama jemaah dan disusuli dengan
nasihat menasihati antara saudara (ad-Dinul nasihah). Awas jangan sama
sekali nasihat menasihati ini menimbulkan apa-apa perasaan yang tidak senang
kepada satu sama lain, baik yang memberi atau menerima, cuba renungkan hadith di
atas.
3. Takaful
Rukun ini merupakan dasar membela nasib sesama sendiri, supaya jangan ada orang
yang terbiar atau terlantar nasibnya tidak terbela. Maksud rukun ini ialah
anggota usrah hendaklah mengambil berat masalah-masalah yang dihadapi oleh
saudaranya. Takaful ini merupakan pancaran pekerti yang dilahirkan daripada
keimanan, dan merupakan inti sari daripada ukhuwah yang murni.
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: Sesungguhnya seorang kamu pergi
menunaikan sesuatu keperluan saudaranya lebih baik baginya daripada beriktikaf
di masjid aku selama sebulan. (....) Dan sabdanya lagi, maksudnya:
Sesiapa yang telah memasukkan kegembiraan iaitu menghilangkan kesusahan dan
kesukaran kepada keluarga muslim, maka Tuhan tidak melihat balasan kepada selain
syurga. (....) Inilah gambaran besar atau kecilnya at-takaful dalam Islam
bagi rukun usrah ketiga.
TUGAS NAQIB
-
Bahan Asas. Pastikan
anak buah mempunyai bahan-bahan asas seperti al-Qur'an dan terjemahannya,
buku dan alat tulis.
-
Muhasabah. Adakan
satu sistem untuk muhasabah anak buah. Lakukan mengikut tahap-tahap tertentu,
secara terbuka atau individu.
-
Jamuan. Jamuan boleh
ada, boleh tiada. Jika diadakan, pastikan jamuan itu sederhana--bukan majlis
menjamu selera.
-
Menjaga Ibadah Khusus.
Kesempurnaan beribadat seperti solat, puasa, zakat dan ibadat nawafil mesti
diutamakan. Pastikan anak buah anda benar-benar mengerti dan mengamalkannya.
Sekali sekala, anjurkan ibadat nawafil jamai seperti qiamullail, puasa,
zakat harta dan lain-lain.
-
Pemilihan Tajuk.
Gunakan kebijaksanaan dalam memilih tajuk usrah supaya dapat mengubati
kelemahan yang wujud dalam diri anak buah anda dengan memilih tajuk yang
sesuai dengan suasana anak buah anda, contohnya sekiranya usrah anda lemah
dalam ikatan persaudaraan atau tidak cukup mesra maka jadikan tajuk usrah
persaudaraan dan tuntutannya dalam Islam.
-
Cungkil Bakat. Naqib
hendaklah mencungkil bakat yang terpendam dalam organisasi. Mereka mempunyai
kebolehan dalam menulis kertas kerja dan mengajar, berceramah dan lain-lainnya
mestilah diasah bakatnya dalam usrah.
-
Tambah Ilmu. Anda
mestilah menggalakkan anak buah anda membaca buku-buku ilmiah, pengetahuan
termasuk majalah-majalah, surat khabar, kertas kerja, kajian ilmiah dan
lain-lainnya. Tugaskan mereka membuat ringkasan dalam usrah, khususnya
buku-buku keluaran jamaah kita termasuk kaset-kaset rakaman syarahan
pimpinan parti.
-
Wujudkan Subkumpulan
anggota usrah yang sedia ada hendaklah ditugaskan mengadakan
kelompok-kelompok usrah yang baru, mereka ditugaskan memimpinnya. Anda
hendaklah menjadi penyelia kepada kelompok-kelompok baru itu.
-
Teks Usrah. Pada
peringkat permulaan dinasihatkan supaya setiap usrah mempunyai kitab atau
teks yang tertentu. Sekiranya perlu, jamaah hendaklah membeli kitab-kitab
rujukan tersebut.
-
Tabung Usrah.
Usahakan sedaya upaya usrah mempunyai tabung, setiap kali berusrah hendaklah
dipungut derma walaupun kadar yang paling sedikit.
-
Aktiviti Sokongan.
Sekali sekala anjurkan perkelahan di tempat-tempat yang difikirkan munasabah
seperti di tepi pantai di sungai, di pedalaman dan ziarah tempat-tempat
bersejarah atau tokoh-tokoh jamaah kita khususnya para ulama. Jadikan
muhasabah ini suatu peluang mengenali rakan seperjuangan saudara dari dekat.
-
Profil Ahli. Amat
berguna sekiranya naqib mempunyai nota atau diari, khususnya mengenai
anggota usrah. Diari ini mengandungi maklumat yang membolehkan naqib
mengetahui kebolehan, keistimewaan kedudukan serta iltizam ahli usrahnya.
-
Mengikuti Perkembangan
Sahsiah. Naqib bertanggungjawab mengembang dan mengikuti kemajuan
sahsiah anggota usrah. Adab mestilah dijaga--jangan sama sekali berlaku
jadar (berbalah) dan perbincangan yang tidak berguna sehingga terkeluar
daripada adab seperti mengeluarkan suara nyaring.
|